Friday, April 18, 2008

Tepuk Dada, Tanyalah Iman

Bila dilihat senario politik negara akhir-akhir ini, seolah-olah negara sedang dilanda oleh keadaan yang amat gawat sekali. Paling kritikal bila dilihat UMNO seolah-olah berada dalam keadaan yang amat kucar-kacir. Tuduh-menuduh, SMS palsu, kenyataan menyokong kepimpinan negara dan kenyataan yang dilihat seperti hendak mencabar kredibiliti Perdana Menteri jelas kedengaran di mana-mana sahaja. Perkembangan ini bukan sahaja menarik minat seluruh warga UMNO untuk diikuti tetapi pihak pembangkang juga sedang mengintai-intai keadaan dalaman UMNO.

Syukur pada Allah kerana Dato’ Seri Hj Hadi Awang sendiri terbuka hatinya untuk menegur akan keterbukaan warga UMNO menyingkap kainnya sendiri sehingga segala macam cerita boleh diketahui oleh orang ramai. Terharu juga hati saya atas keprihatinan Dato’ Seri Hj Hadi Awang kerana tetap mengambil tahu akan kepentingan politik UMNO walaupun umum mengetahui bahawa beliau pernah mengeluarkan amanat yang seolah-olah mengkafirkan orang-orang UMNO.

Mungkin kerana kali ini beliau sendiri sedar bahawa orang-orang PAS kini sudah tergolong dalam amanat beliau sendiri dan turut terlibat dalam meluluskan pembinaan kandang babi termoden di rantau ini. Akhirnya, terbukti jelas PAS kini adalah rakan seperjuangan orang-orang bukan Islam.

Keadilan pula masih tetap dengan cita-cita besar mereka untuk membentuk Kerajaan mudah dalam tempoh yang singkat. Besar sungguh modal mereka untuk membeli wakil-wakil rakyat BN walaupun mereka bukannya menguasai Kerajaan Persekutuan. Adakah mereka hendak menggunakan wang rakyat Selangor atau ada pembiaya luar negara yang akan melaburkan wang mereka kepada Keadilan?

Seperti biasa juga, media arus perdana terus melaporkan kenyataan-kenyataan yang “sedap untuk didengar, tetapi pedih hati bila dibaca”. Terbaru dalam akhbar Berita Harian keluaran 16 April 2008 di muka surat hadapan kolum berwarna kuning. Syabas dan tahniah diucapkan kepada penulis ruangan tersebut kerana berhati murni demi kepentingan negara. Saya juga bersetuju dengan beliau bahawa keadaan sekarang perlu diperbetulkan demi kebaikan semua pihak terutamanya kepada golongan pertengahan dan bawahan. Sudah tentu ketidakstabilan dalam struktur pemerintahan akan mengundang banyak bencana kepada ekonomi, sosial dan rohaniah.

Setelah membaca ruangan tersebut, saya berpendapat bahawa beliau perlu menulis sewajarnya apabila meminta supaya seluruh rakyat Malaysia terutamanya orang-orang UMNO untuk memberikan peluang kepada Perdana Menteri memperbetulkan keadaan. Beliau juga memberikan beberapa alasan yang memang tidak dinafikan merupakan antara punca-punca kekalahan BN dalam PRU-12.

Atas kesempatan ini, setelah berfikir semasak-masaknya, tidakkah penulis tersebut tahu bahawa punca kekalahan BN telah dibincangkan oleh ramai pihak sejak tahun 2004 lagi? Bacalah mana-mana blog atau laman web, punca kekalahan bukan sebab isu keris yang dihunus, kuil yang dirobohkan, penyapu yang dihadiahkan tetapi oleh rasa menyampah golongan-golongan muda masakini terhadap skandal yang disebabkan oleh orang-orang berkepentingan. Tidak perlu saya nyatakan nama-nama orang tersebut tetapi ingin ditegaskan bahawa atas kepentingan orang-orang tersebutlah sejak tahun 2004 lagi, maka Perdana Menteri telah mengalami saat keperitan yang amat sangat pada hari ini.

Ingin dingatkan sekali lagi bahawa Avenue Capital, ECM Libra, Monsoon Cup, Taman Tamadun Islam Terengganu, Temasik Holdings, Pantai Holdings, SCOMI, isu jambatan dan banyak lagi yang melibatkan kewangan telah menjadi buah mulut orang ramai sejak tahun 2004 wahai penulis yang budiman. Terlalu banyak kepincangan dan rakyat mahukan jawapan namun hingga ke hari ini langsung tiada.

Bukan faktor keris yang dihunus oleh Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana YABhg Tun Mahathir juga pernah menghunus keris pada tahun 2001 dalam program Amanat Presiden kepada Pemuda UMNO. Tidak menjadi pertikaian mana-mana pihak pun.

Isu perkauman pernah juga menjadi kemelut pada zaman pemerintahan Tun Mahathir sewaktu rusuhan kaum di Kg. Lindungan, Taman Medan. Tidak pula memberikan kesan terhadap undi kepada BN pada PRU-11 kerana Kerajaan tatkala itu berjaya mengawal keadaan dengan amat baik.

Adakah tuan penulis tahu bahawa ramai golongan-golongan pertengahan dan bawahan yang berkhidmat dalam sektor Kerajaan amat berharap dengan bonus tahunan? Walaupun Kerajaan telah menaikkan gred gaji tetapi bonus tahunan amat dinantikan oleh mereka bagi persediaan Hari Raya dan persediaan membeli peralatan sekolah anak-anak. Mungkin ini disebabkan tuan bergaji besar sehingga tidak langsung nampak akan keperitan kami rakyat bawahan.

Ketetapan Kerajaan untuk tidak memberikan bonus benar-benar merupakan berita sedih sehingga akhirnya memberikan peluang kepada pembangkang untuk menawarkan ‘insentif’ yang amat menarik sekiranya memberikan peluang kepada mereka untuk memerintah.

Selama ini apa sahaja arahan Kerajaan diikuti oleh rakyat. Harga minyak naik, disokong walaupun tidak rela. Bila harga minyak naik maka segala-galanya yang melibatkan kewangan turut naik. Justeru, ia membebankan rakyat yang bergaji rendah.

Pada saya, kemelut yang berlaku pada PRU-12 memang benar tidak boleh disalahkan kepada Perdana Menteri semata-mata kerana ini tanggungjawab bersama. Tetapi rakyat terutamanya golongan muda yang sentiasa mengikuti perkembangan hal ehwal negara memang tidak dinafikan sangat-sangat menyampah dengan cara bagaimana golongan-golongan berkepentingan ini yang seolah-olah mengawal Perdana Menteri dalam isu-isu berkaitan di atas.

Sedarlah bahawa golongan muda masakini telah banyak yang berilmu atas hasil usaha pihak Kerajaan BN. Ramai juga rakyat yang telah merasai nikmat pembangunan yang diusahakan oleh Kerajaan BN. Tetapi rakyat tidak dapat menerima keadaan dimana Perdana Menteri seperti hilang arah dan tidak menjawab dengan betul apabila ditanya mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan golongan-golongan tersebut.

Jika benar perkara ini hendak diperbetulkan, sepatutnya isu-isu yang tersebut di atas telah ditangani sebaik mungkin sehingga tidak menampakkan kepentingan ‘kekeluargaan’ dan diperbetulkan sejak tahun 2004 lagi bukannya selepas PRU-12.

Jikalau penulis tersebut memohon dan merayu melalui suratkhabar supaya diberi peluang kepada Perdana Menteri untuk memperbetulkan keadaan, bagaimana pula keadaannya bila hari ini ahli-ahli UMNO sendiri hendak membetulkan kepimpinan negara?

Tepuk dada, tanyalah iman.

Wednesday, April 9, 2008

Antara 'Fitna' dan Fitnah, Geert Wilder dan Pembangkang Tidak Ada Bezanya

Sekali lagi dunia Islam tersentak dengan elemen penghinaan yang dilemparkan oleh kafir harbi terhadap kitab suci Al-Qur’an dan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Umat Islam secara berterusan diserang oleh golongan kafir harbi ini kerana mereka tahu akan kelemahan umat Islam; tidak mampu berbuat apa-apa dek kerana kelemahan daripada sudut ekonomi.

Kebergantungan negara-negara Islam kepada barat menyebabkan penindasan terus berlaku dan sikap mementingkan keuntungan oleh sesetengah negara Islam yang kaya dengan hasil minyak juga menyebabkan pemimpin-pemimpin tersebut tidak mahu untuk bersuara.


Akhirnya kita tahu yang Geert Wilder, seorang ahli parlimen Belanda pasti tidak akan dikenakan apa-apa tindakan oleh Kerajaan Belanda. Memorandum, demonstrasi dan pemboikotan ke atas barangan keluaran Belanda tidak akan merugikan Geert Wilder.

Dia mengetahui bahawa kebergantungan negara Islam ke atas produk keluaran negara mereka melebihi segala-galanya.

Masa ini mungkin umat Islam memboikot produk-produk tersebut tetapi siapa yang mampu untuk menahan keinginan untuk memiliki produk yang telah bertahun-tahun digunakan?


Saya telah berpeluang untuk melihat sendiri dokumentari selama 15 minit yang dihasilkan dengan penuh sifat ‘kebinatangan’ oleh Geert Wilder dan konco-konco beliau. Memang tidak dapat dinafikan, segala macam perasaan berselubung di hati saya. Marah, sedih, geram, terhina dan perasaan untuk membunuh juga wujud di hati.

Mungkin, inilah perencanaan Barat yang berterusan untuk membalas dendam akibat kekalahan dalam Perang Salib.

Apa yang boleh saya nyatakan, dokumentari tersebut dibuat dengan menterjemahkan sedikit ayat-ayat Al-Qur’an berdasarkan pemahaman kafir harbi tersebut berkenaan hukuman Allah kepada golongan-golongan yang menentang umat Islam pada zaman Rasulullah S.A.W dan rasul-rasul sebelum itu.

Kepandaian konco-konco Geert Wilder dalam kemahiran ‘menyunting’ ucapan-ucapan pemimpin Islam berkenaan kezaliman orang-orang Yahudi juga telah berjaya memperlihatkan ‘kejahatan’ umat Islam yang kerjanya seolah-olah suka membunuh.

Inilah padahnya apabila kekurangan umat Islam untuk membentuk imej yang baik sepertimana ajaran Rasulullah S.A.W telah disalahertikan oleh golongan kafir harbi ini menentang dan mempermainkan sensitiviti umat Islam sesuka hati mereka.


Apabila teknologi ICT semakin berkembang, makin mudah kepada pengguna-penggunanya untuk meng’akses’ sebarang bentuk maklumat tanpa kita ketahui hujung pangkal dan kebenarannya.

Inilah yang digunakan oleh Geert Wilder apabila beliau mengetahui bahawa proses ‘suntingan’ menggunakan kemahiran teknologi ICT pasti akan menghasilkan lebih tumpuan.

Saya pasti bahawa keuntungan bukan matlamat utama beliau tetapi penyebaran maklumat palsu dan fitnah seperti yang telah dibuat oleh beliau adalah matlamat utama.

Atas tiket perjuangan demi keamanan seperti tema dokumentari ‘Fitna’ maka beliau telah menghalalkan apa saja cara demi memastikan umat Islam sedar bahawa keganasan bukanlah cara yang terbaik untuk memperoleh keamanan.

Tetapi langkah beliau dalam bentuk provokasi inilah bakal mengundang padah dan menjauhkan lagi hubungan dan fahaman antara Islam dan dunia barat.


Akhirnya, setelah saya melihat dokumentari fitnah tersebut dengan penuh rasa kesal, terfikir oleh saya bahawa adakah perkembangan ICT masakini membolehkan mana-mana pihak melakukan sesuka hati mereka tanpa memikirkan implikasi buruk akibat penyebaran maklumat yang salah?

Seperti di Malaysia, walaupun penggunaan aplikasi ICT masih dalam proses perkembangan tetapi impaknya telah dapat kita lihat melalui Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU-12) yang lalu.
Bloggers, laman web dan media alternatif telah menjadi tumpuan terutama golongan muda untuk mendapat lebih input tentang perkembangan politik dalam negara.

Bukanlah media tempatan tidak mendapat tempat tetapi sajian dan maklumat yang diberikan oleh mereka dilihat terlalu ‘mengampu’ dan memberikan imej-imej yang baik sahaja tentang apa perkara yang dilakukan oleh Kerajaan sedangkan ada perkara yang berlaku sebaliknya.
Justeru, tidak hairanlah mengapa sumber-sumber alternatif mula mendapat tempat.


Namun, yang menyedihkan apabila ada sesetengah pihak yang secara terang-terangan menggunakan kepandaian mereka ‘menyunting’ sama seperti yang dilakukan oleh Geert Wilder dengan tujuan untuk memburuk-burukkan sesetengah pihak terutamanya pihak Kerajaan.

Dengan mengambil contoh seperti yang dilakukan ke atas mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir apabila ucapan beliau berkenaan Anwar Ibrahim telah disunting oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Untuk pengetahuan mana-mana pihak, ucapan yang sebenar adalah “ada orang tuduh, saya tangkap Anwar, campak dia dalam penjara”. Tetapi pihak tersebut telah menyunting ayat “ada orang tuduh” sehingga menampakkan yang Tun Mahathir benar-benar telah melakukan penganiayaan ke atas Anwar.

Contoh yang lain pula adalah berkenaan debat antara Pas VS UMNO yang telah dilangsungkan sekitar tahun 2000. Pihak PAS secara terang-terangan telah mengedarkan VCD berkenaan debat tersebut yang menampakkan kemenangan telah mereka perolehi.

Tetapi, apabila VCD yang sebenar diedarkan maka pihak PAS mendapat malu kerana mereka telah melakukan pembohongan dengan menyunting rakaman sebenar tersebut untuk mengelakkan malu dikalangan ahli mereka kerana kekalahan sewaktu debat tersebut.


Inilah contoh-contoh yang boleh diberikan berkenaan proses suntingan yang boleh menyebabkan kebenaran terselindung di sebalik penipuan dan kepalsuan.

Teladan yang boleh diambil oleh kita semua adalah pihak-pihak tersebut terutamanya seperti hanief.blogspot yang amat terkenal dengan ‘kerajinan’ beliau melakukan proses suntingan sama saja perangainya dengan Geert Wilder.

Telah terbukti juga bahawa ada pihak-pihak tertentu pro pembangkang yang kerjanya memang suka menabur fitnah melalui laman web sehingga dikenakan saman RM 7 juta baru-baru ini. Juga serupa dengan perangai Geert Wilder.

Ada juga pihak pembangkang Islam yang lantang mengatakan bahawa haram bekerjasama dengan orang bukan Islam sehingga sanggup mengkafirkan lawannya akhirnya menjilat semula tahi yang dilemparkan kepada orang-orang yang menyokong UMNO. Juga sama-sama terlibat dan menyokong sepenuhnya projek babi terbesar dan termoden di rantau ini sedangkan sebelum ini mereka menabur fitnah bahawa Kerajaan BN cuba untuk meluluskan projek ternakan babi tersebut.


Jadi sudah tentulah bahawa Geert Wilder dan Pembangkang serta ‘Fitna’ dan Fitnah tidak ada bezanya.

Thursday, April 3, 2008

Kita Terus Terang Saja Kali Ini

Sudah hampir 1 bulan keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU-12) diumumkan disaat saya menulis di ruangan ini. Cakap-cakap mengenainya terus hebat diperkatakan oleh setiap lapisan masyarakat. Lobi hotel, warung kopi, kedai mamak, sekolah, pejabat malah di Kementerian-kementerian PRU-12 terus menjadi menu utama bahan percakapan. Kemenangan, kekalahan, kehebatan, keangkuhan, kesedihan, kesilapan, kekurangan dan seribu macam lagi perkara adalah topik utama perbualan.

Semestinya PRU-12 telah mengubah persepsi rakyat terhadap Pemerintah dan Pembangkang. Realitinya, PRU-12 telah menampakkan jurang yang amat besar antara rakyat dengan Kerajaan BN dan UMNO. Rakyat merasakan perlunya BN dan UMNO 'diajar' secukupnya atas dasar-dasar dan keputusan yang dilihat amat membebankan rakyat terutamanya atas faktor kenaikan kos sara hidup yang amat memeritkan kepada golongan pertengahan dan bawahan. Rakyat juga telah dieksperimentasikan oleh pembangkang dengan tohmahan-tohmahan berunsur perkauman sehingga undi yang dibuang pada 8 Mac 2008 adalah lebih menjurus kepada rasa tidak puas hati dan benci terhadap sesuatu kaum.

Kekurangan Kerajaan BN dan jentera UMNO tatkala itu kerana tidak berjaya menyelesaikan perkara-perkara yang tersebut di atas dengan baik sehingga kekalahan yang terbesar dicatatkan dalam sejarah pemerintahan BN. Pembangkang yang diketahui sentiasa "menangguk di air keruh" berjaya menambat hati rakyat melalui manifesto yang cukup "berkebajikan" dan kemenangan terbesar mereka merupakan bukti bahawa demokrasi tetap subur di negara ini.

Apabila berjalan ke sana ke sini, saya mendapat maklumbalas yang cukup banyak daripada kawan-kawan yang selama ini gigih memperjuangkan agenda BN dan UMNO. Maklumbalas tersebut adalah apabila pemimpin-pemimpin BN dan juga UMNO sudah tidak menjadi 'jurubicara rakyat'. Kita hanya menurut dan mempertahankan dasar-dasar Kerajaan sedangkan agenda sebenarnya adalah untuk meringankan beban rakyat. BN selama ini dilihat terlalu menumpukan aspek pembangunan fiskal yang terlampau sedangkan masih ramai rakyat yang memerlukan pembelaan daripada pemimpin-pemimpin UMNO melalui sokongan bukan fiskal.

Kuasa pemimpin-pemimpin UMNO untuk memperkatakan 'tidak' terhadap dasar kerajaan yang membebankan rakyat juga dilihat telah tiada. Rakyat juga melihat terlalu banyak keputusan-keputusan kerajaan yang bercanggah dari pendirian asal yang akhirnya menimbulkan rasa resah ahli parti dan rakyat. Atas faktor inilah, lama-kelamaan rakyat mula menolak BN dan diterjemahkan dalam PRU-12 yang lalu.

BN dan UMNO juga perlu sedar bahawa rakyat sudah muak melihat gaya hidup pemimpin-pemimpinnya. Rakyat juga tidak nampak terhadap sebarang kebaikan dan manfaat yang bakal diperoleh apabila projek-projek mega yang diumumkan oleh Perdana Menteri berlangsung kerana jentera pentadbiran kerajaan dan UMNO tidak turun sepenuhnya ke akar umbi untuk menerangkan sedalam-dalamnya manfaat yang bakal diperoleh.

Dalam hal ini, saya amat bersetuju dengan kenyataan YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang mahukan suara ahli UMNO didengar oleh pemimpin-pemimpin atasan. Secara simbolik, pemimpin-pemimpin tertinggi BN dan UMNO juga perlu faham bahawa kali ini rakyat sudah tidak takut untuk berterus terang dalam hal yang berkaitan dengan urusan perjalanan kehidupan mereka di peringkat akar umbi.

Kepincangan dalam urusan pentadbiran Kerajaan dan hal-hal yang berkaitan kehidupan peribadi serta campur tangan keluarga terhadap keputusan-keputusan kerajaan telah banyak diperkatakan dalam blog-blog tempatan. Inilah suara rakyat yang tidak mahu kepincangan terus berlaku dalam kepimpinan negara tetapi dinafikan oleh pihak-pihak tertentu.

Saya juga bersetuju dengan saranan YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein agar 'reform' dilaksanakan terhadap kepimpinan UMNO dan hanya pemimpin yang benar-benar layak dipilih. Bukan berniat untuk melawan tetapi kepimpinan parti perlu sedar bahawa jutaan rakyat serta ahli parti mahukan 'angin baru' untuk memberikan nafas yang segar dalam urusan pentadbiran Kerajaan dan parti. Ahli UMNO telah matang dan tidak akan terburu-buru membuat keputusan. Pengalaman yang lalu telah dijadikan panduan untuk melonjakkan pemimpin yang benar-benar tulin dalam memperkasakan semula BN dan UMNO.

Saya juga bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Aziz Tapa bahawa ahli-ahli UMNO kini umpama "anak ayam kehilangan ibu". Kita kehilangan arah buat masa ini kerana sehingga ke hari ini, tiada langsung arahan daripada pucuk pimpinan tentang apa yang perlu dilakukan oleh ahli-ahli parti. Inilah antara sebab perasaan memberontak wujud dalam hati sanubari hampir keseluruhan ahli parti dan mewujudkan suasana tidak selesa dalam parti keramat ini. Ahli parti mahukan suatu arahan yang jelas yang boleh membawa semula UMNO ke mercu kegemilangan.

Meminjam kata-kata bersemangat seorang pemimpin politik muda tanahair, biarlah kita terus terang saja kali ini demi kebaikan parti UMNO dan survival politik orang Melayu.

Teruskan Pemilihan, Dengarlah Suara Akar Umbi UMNO

Umum mengetahui UMNO dan Barisan Nasional telah mengalami tamparan yang amat hebat pada Pilihan Raya Umum Ke 12 (PRU-12) yang baru lalu. Pelbagai spekulasi dan kebenaran bermain dilidah setiap rakyat terutama oleh orang-orang UMNO sendiri.

Masing-masing mengeluarkan pendapat yang tersendiri dan mengaitkannya dengan isu-isu nasional yang gagal ditangani dengan baik oleh pihak Kerajaan sebagai punca kekalahan.

Tidak kurang juga isu-isu peribadi pemimpin-pemimpin parti sedikit sebanyak menyumbangkan kepada kekalahan.

Pihak pembangkang sendiri tidak menyangka bahawa PRU-12 telah menjadikan mereka umpama gergasi yang hampir-hampir meruntuhkan tembok kebal BN yang telah berkuasa selama kira-kira 50 tahun.

Hakikat bahawa negeri-negeri yang kononnya kubu kuat BN di semenanjung juga telah berjaya ditembusi. Ini membuktikan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjalankan tugas mereka dengan baik, pembangkang berjaya memanipulasikan isu sehabis baik dan BN kini sudah tidak baik di mata rakyat.

Tetapi ini tidak bermakna bahawa UMNO telah tidak relevan. Dengan kekuatan seramai 79 orang calon UMNO yang kini bergelar ahli parlimen daripada 140 kerusi BN di Dewan Rakyat, semestinya suara mereka ditunggu-tunggu apabila penggal baru persidangan Dewan Rakyat dibuka.

Adakah 'ngauman' beberapa wakil rakyat BN seperti penggal lalu masih kedengaran atau laungan oleh pembangkang pula akan bermaharajalela?

Perkara ini amat penting kerana UMNO adalah tunjang kepada BN dan sebarang kesilapan daripada wakil rakyat UMNO di Dewan Rakyat akan mengundang padah sehingga boleh menyebabkan BN goyah.

Suatu fenomena baru di parlimen akan bermula dan ini adalah perkara yang amat menarik untuk dilihat.

Suara rakyat juga telah menentukan segala-galanya. Ini juga memperlihatkan bahawa kedudukan orang Melayu yang selama ini diperjuangkan oleh UMNO sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan PRU-12.

Mungkin Agenda Melayu yang diperkatakan dengan agak keras pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu menjadi titik tolak kepada keadaan seumpama ini.

Jika selama ini pemimpin-pemimpin UMNO lantang bersuara mempertahankan hak, adakah kali ini akan kedengaran lagi suara seumpama itu?

Paling penting adalah rakyat dan ahli-ahli UMNO yang setia ingin melihat bagaimana corak baru yang ingin dibawa oleh pucuk pimpinan agar kemelut ini dapat diselesaikan seterusnya memberi sinar baru kepada UMNO.

Umum juga mengetahui bahawa sepatutnya Pemilihan Agung UMNO diadakan pada tahun ini. Tetapi media massa telah melaporkan bahawa kemungkinan pemilihan tersebut ditangguhkan oleh Majlis Tertinggi UMNO dengan alasan perlu kepada pengukuhan parti terlebih dahulu.

Sebenarnya, ahli-ahli UMNO juga ingin menyuarakan hasrat dan suara hati mereka. Pucuk pimpinan telah melihat suara rakyat berkumandang dalam keputusan PRU-12.

Justeru itu, penulis merasakan biarlah pada kali ini pucuk pimpinan melihat pula suara ahli UMNO melalui pemilihan parti. Tidak perlu ditangguhkan kerana masalah yang lebih teruk akan melanda parti.

Fitnah akan terus berleluasa dan orang-orang yang berkepentingan akan mempunyai lebih masa untuk bergerak dan berkempen secara lebih halus. Ini lebih membahayakan UMNO dan akan menyebabkan lebih perpecahan berlaku.

Kita telah merasai kepahitan apabila PRU-12 yang dijangka berlangsung pada bulan November 2007 telah diumumkan pada Mac 2008.

Mungkin Kerajaan merasakan bahawa perlu meredakan beberapa isu terlebih dahulu tetapi tidak menyangka isu yang lebih besar melanda negara.

Begitu juga pemilihan UMNO. Lagi lambat kita laksanakannya, makin parah keadaan kita. Biar kali ini ahli UMNO yang tentukan halatuju kita dan pemimpin kita. Jangan tangguhkan pemilihan parti