Friday, April 18, 2008

Tepuk Dada, Tanyalah Iman

Bila dilihat senario politik negara akhir-akhir ini, seolah-olah negara sedang dilanda oleh keadaan yang amat gawat sekali. Paling kritikal bila dilihat UMNO seolah-olah berada dalam keadaan yang amat kucar-kacir. Tuduh-menuduh, SMS palsu, kenyataan menyokong kepimpinan negara dan kenyataan yang dilihat seperti hendak mencabar kredibiliti Perdana Menteri jelas kedengaran di mana-mana sahaja. Perkembangan ini bukan sahaja menarik minat seluruh warga UMNO untuk diikuti tetapi pihak pembangkang juga sedang mengintai-intai keadaan dalaman UMNO.

Syukur pada Allah kerana Dato’ Seri Hj Hadi Awang sendiri terbuka hatinya untuk menegur akan keterbukaan warga UMNO menyingkap kainnya sendiri sehingga segala macam cerita boleh diketahui oleh orang ramai. Terharu juga hati saya atas keprihatinan Dato’ Seri Hj Hadi Awang kerana tetap mengambil tahu akan kepentingan politik UMNO walaupun umum mengetahui bahawa beliau pernah mengeluarkan amanat yang seolah-olah mengkafirkan orang-orang UMNO.

Mungkin kerana kali ini beliau sendiri sedar bahawa orang-orang PAS kini sudah tergolong dalam amanat beliau sendiri dan turut terlibat dalam meluluskan pembinaan kandang babi termoden di rantau ini. Akhirnya, terbukti jelas PAS kini adalah rakan seperjuangan orang-orang bukan Islam.

Keadilan pula masih tetap dengan cita-cita besar mereka untuk membentuk Kerajaan mudah dalam tempoh yang singkat. Besar sungguh modal mereka untuk membeli wakil-wakil rakyat BN walaupun mereka bukannya menguasai Kerajaan Persekutuan. Adakah mereka hendak menggunakan wang rakyat Selangor atau ada pembiaya luar negara yang akan melaburkan wang mereka kepada Keadilan?

Seperti biasa juga, media arus perdana terus melaporkan kenyataan-kenyataan yang “sedap untuk didengar, tetapi pedih hati bila dibaca”. Terbaru dalam akhbar Berita Harian keluaran 16 April 2008 di muka surat hadapan kolum berwarna kuning. Syabas dan tahniah diucapkan kepada penulis ruangan tersebut kerana berhati murni demi kepentingan negara. Saya juga bersetuju dengan beliau bahawa keadaan sekarang perlu diperbetulkan demi kebaikan semua pihak terutamanya kepada golongan pertengahan dan bawahan. Sudah tentu ketidakstabilan dalam struktur pemerintahan akan mengundang banyak bencana kepada ekonomi, sosial dan rohaniah.

Setelah membaca ruangan tersebut, saya berpendapat bahawa beliau perlu menulis sewajarnya apabila meminta supaya seluruh rakyat Malaysia terutamanya orang-orang UMNO untuk memberikan peluang kepada Perdana Menteri memperbetulkan keadaan. Beliau juga memberikan beberapa alasan yang memang tidak dinafikan merupakan antara punca-punca kekalahan BN dalam PRU-12.

Atas kesempatan ini, setelah berfikir semasak-masaknya, tidakkah penulis tersebut tahu bahawa punca kekalahan BN telah dibincangkan oleh ramai pihak sejak tahun 2004 lagi? Bacalah mana-mana blog atau laman web, punca kekalahan bukan sebab isu keris yang dihunus, kuil yang dirobohkan, penyapu yang dihadiahkan tetapi oleh rasa menyampah golongan-golongan muda masakini terhadap skandal yang disebabkan oleh orang-orang berkepentingan. Tidak perlu saya nyatakan nama-nama orang tersebut tetapi ingin ditegaskan bahawa atas kepentingan orang-orang tersebutlah sejak tahun 2004 lagi, maka Perdana Menteri telah mengalami saat keperitan yang amat sangat pada hari ini.

Ingin dingatkan sekali lagi bahawa Avenue Capital, ECM Libra, Monsoon Cup, Taman Tamadun Islam Terengganu, Temasik Holdings, Pantai Holdings, SCOMI, isu jambatan dan banyak lagi yang melibatkan kewangan telah menjadi buah mulut orang ramai sejak tahun 2004 wahai penulis yang budiman. Terlalu banyak kepincangan dan rakyat mahukan jawapan namun hingga ke hari ini langsung tiada.

Bukan faktor keris yang dihunus oleh Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana YABhg Tun Mahathir juga pernah menghunus keris pada tahun 2001 dalam program Amanat Presiden kepada Pemuda UMNO. Tidak menjadi pertikaian mana-mana pihak pun.

Isu perkauman pernah juga menjadi kemelut pada zaman pemerintahan Tun Mahathir sewaktu rusuhan kaum di Kg. Lindungan, Taman Medan. Tidak pula memberikan kesan terhadap undi kepada BN pada PRU-11 kerana Kerajaan tatkala itu berjaya mengawal keadaan dengan amat baik.

Adakah tuan penulis tahu bahawa ramai golongan-golongan pertengahan dan bawahan yang berkhidmat dalam sektor Kerajaan amat berharap dengan bonus tahunan? Walaupun Kerajaan telah menaikkan gred gaji tetapi bonus tahunan amat dinantikan oleh mereka bagi persediaan Hari Raya dan persediaan membeli peralatan sekolah anak-anak. Mungkin ini disebabkan tuan bergaji besar sehingga tidak langsung nampak akan keperitan kami rakyat bawahan.

Ketetapan Kerajaan untuk tidak memberikan bonus benar-benar merupakan berita sedih sehingga akhirnya memberikan peluang kepada pembangkang untuk menawarkan ‘insentif’ yang amat menarik sekiranya memberikan peluang kepada mereka untuk memerintah.

Selama ini apa sahaja arahan Kerajaan diikuti oleh rakyat. Harga minyak naik, disokong walaupun tidak rela. Bila harga minyak naik maka segala-galanya yang melibatkan kewangan turut naik. Justeru, ia membebankan rakyat yang bergaji rendah.

Pada saya, kemelut yang berlaku pada PRU-12 memang benar tidak boleh disalahkan kepada Perdana Menteri semata-mata kerana ini tanggungjawab bersama. Tetapi rakyat terutamanya golongan muda yang sentiasa mengikuti perkembangan hal ehwal negara memang tidak dinafikan sangat-sangat menyampah dengan cara bagaimana golongan-golongan berkepentingan ini yang seolah-olah mengawal Perdana Menteri dalam isu-isu berkaitan di atas.

Sedarlah bahawa golongan muda masakini telah banyak yang berilmu atas hasil usaha pihak Kerajaan BN. Ramai juga rakyat yang telah merasai nikmat pembangunan yang diusahakan oleh Kerajaan BN. Tetapi rakyat tidak dapat menerima keadaan dimana Perdana Menteri seperti hilang arah dan tidak menjawab dengan betul apabila ditanya mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan golongan-golongan tersebut.

Jika benar perkara ini hendak diperbetulkan, sepatutnya isu-isu yang tersebut di atas telah ditangani sebaik mungkin sehingga tidak menampakkan kepentingan ‘kekeluargaan’ dan diperbetulkan sejak tahun 2004 lagi bukannya selepas PRU-12.

Jikalau penulis tersebut memohon dan merayu melalui suratkhabar supaya diberi peluang kepada Perdana Menteri untuk memperbetulkan keadaan, bagaimana pula keadaannya bila hari ini ahli-ahli UMNO sendiri hendak membetulkan kepimpinan negara?

Tepuk dada, tanyalah iman.

1 comment:

Black-40 said...

Saya sokong sangat pandangan Tuan. Tak semestinya isu keris, roboh kuil, roboh surau dan hadiah penyaku sebagai penyebab utama tetapi isu-isu yang melibatkan anak menantu ni, tidak pula ditulis oleh penulis akhbar Berita Harian ini.

Kenapa boleh jadi macam nie atau yang tulis artikel tu sebenarnya Khalimullah atau Branden Pareira yang juga mempunyai kepentingan2 dalam syarikat2 yang tuan katakan tadi.

Hakikatnya, BH perlu adil dan berkata benarlah. Jangan hanya menuding jadi kepada sebelah pihak sahaja.