Thursday, April 3, 2008

Kita Terus Terang Saja Kali Ini

Sudah hampir 1 bulan keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU-12) diumumkan disaat saya menulis di ruangan ini. Cakap-cakap mengenainya terus hebat diperkatakan oleh setiap lapisan masyarakat. Lobi hotel, warung kopi, kedai mamak, sekolah, pejabat malah di Kementerian-kementerian PRU-12 terus menjadi menu utama bahan percakapan. Kemenangan, kekalahan, kehebatan, keangkuhan, kesedihan, kesilapan, kekurangan dan seribu macam lagi perkara adalah topik utama perbualan.

Semestinya PRU-12 telah mengubah persepsi rakyat terhadap Pemerintah dan Pembangkang. Realitinya, PRU-12 telah menampakkan jurang yang amat besar antara rakyat dengan Kerajaan BN dan UMNO. Rakyat merasakan perlunya BN dan UMNO 'diajar' secukupnya atas dasar-dasar dan keputusan yang dilihat amat membebankan rakyat terutamanya atas faktor kenaikan kos sara hidup yang amat memeritkan kepada golongan pertengahan dan bawahan. Rakyat juga telah dieksperimentasikan oleh pembangkang dengan tohmahan-tohmahan berunsur perkauman sehingga undi yang dibuang pada 8 Mac 2008 adalah lebih menjurus kepada rasa tidak puas hati dan benci terhadap sesuatu kaum.

Kekurangan Kerajaan BN dan jentera UMNO tatkala itu kerana tidak berjaya menyelesaikan perkara-perkara yang tersebut di atas dengan baik sehingga kekalahan yang terbesar dicatatkan dalam sejarah pemerintahan BN. Pembangkang yang diketahui sentiasa "menangguk di air keruh" berjaya menambat hati rakyat melalui manifesto yang cukup "berkebajikan" dan kemenangan terbesar mereka merupakan bukti bahawa demokrasi tetap subur di negara ini.

Apabila berjalan ke sana ke sini, saya mendapat maklumbalas yang cukup banyak daripada kawan-kawan yang selama ini gigih memperjuangkan agenda BN dan UMNO. Maklumbalas tersebut adalah apabila pemimpin-pemimpin BN dan juga UMNO sudah tidak menjadi 'jurubicara rakyat'. Kita hanya menurut dan mempertahankan dasar-dasar Kerajaan sedangkan agenda sebenarnya adalah untuk meringankan beban rakyat. BN selama ini dilihat terlalu menumpukan aspek pembangunan fiskal yang terlampau sedangkan masih ramai rakyat yang memerlukan pembelaan daripada pemimpin-pemimpin UMNO melalui sokongan bukan fiskal.

Kuasa pemimpin-pemimpin UMNO untuk memperkatakan 'tidak' terhadap dasar kerajaan yang membebankan rakyat juga dilihat telah tiada. Rakyat juga melihat terlalu banyak keputusan-keputusan kerajaan yang bercanggah dari pendirian asal yang akhirnya menimbulkan rasa resah ahli parti dan rakyat. Atas faktor inilah, lama-kelamaan rakyat mula menolak BN dan diterjemahkan dalam PRU-12 yang lalu.

BN dan UMNO juga perlu sedar bahawa rakyat sudah muak melihat gaya hidup pemimpin-pemimpinnya. Rakyat juga tidak nampak terhadap sebarang kebaikan dan manfaat yang bakal diperoleh apabila projek-projek mega yang diumumkan oleh Perdana Menteri berlangsung kerana jentera pentadbiran kerajaan dan UMNO tidak turun sepenuhnya ke akar umbi untuk menerangkan sedalam-dalamnya manfaat yang bakal diperoleh.

Dalam hal ini, saya amat bersetuju dengan kenyataan YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang mahukan suara ahli UMNO didengar oleh pemimpin-pemimpin atasan. Secara simbolik, pemimpin-pemimpin tertinggi BN dan UMNO juga perlu faham bahawa kali ini rakyat sudah tidak takut untuk berterus terang dalam hal yang berkaitan dengan urusan perjalanan kehidupan mereka di peringkat akar umbi.

Kepincangan dalam urusan pentadbiran Kerajaan dan hal-hal yang berkaitan kehidupan peribadi serta campur tangan keluarga terhadap keputusan-keputusan kerajaan telah banyak diperkatakan dalam blog-blog tempatan. Inilah suara rakyat yang tidak mahu kepincangan terus berlaku dalam kepimpinan negara tetapi dinafikan oleh pihak-pihak tertentu.

Saya juga bersetuju dengan saranan YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein agar 'reform' dilaksanakan terhadap kepimpinan UMNO dan hanya pemimpin yang benar-benar layak dipilih. Bukan berniat untuk melawan tetapi kepimpinan parti perlu sedar bahawa jutaan rakyat serta ahli parti mahukan 'angin baru' untuk memberikan nafas yang segar dalam urusan pentadbiran Kerajaan dan parti. Ahli UMNO telah matang dan tidak akan terburu-buru membuat keputusan. Pengalaman yang lalu telah dijadikan panduan untuk melonjakkan pemimpin yang benar-benar tulin dalam memperkasakan semula BN dan UMNO.

Saya juga bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Aziz Tapa bahawa ahli-ahli UMNO kini umpama "anak ayam kehilangan ibu". Kita kehilangan arah buat masa ini kerana sehingga ke hari ini, tiada langsung arahan daripada pucuk pimpinan tentang apa yang perlu dilakukan oleh ahli-ahli parti. Inilah antara sebab perasaan memberontak wujud dalam hati sanubari hampir keseluruhan ahli parti dan mewujudkan suasana tidak selesa dalam parti keramat ini. Ahli parti mahukan suatu arahan yang jelas yang boleh membawa semula UMNO ke mercu kegemilangan.

Meminjam kata-kata bersemangat seorang pemimpin politik muda tanahair, biarlah kita terus terang saja kali ini demi kebaikan parti UMNO dan survival politik orang Melayu.

4 comments:

sahabat gunung said...

”Melayu mesti melahirkan pemimpin yang berani mengeluarkan fikiran bernas kalau mahu terus maju. Dalam konteks Pemuda UMNO, bagaimana sifat berani ini harus dijelmakan?”.

TheTruth said...

skrg ni sape yg takut.... bukan dr kalangan akar umbi, tetapi mereka yag berjawatan.....

gaban said...

camne tak takut, asal ckp lebih je kena banned... asal ckp lebih je ugut tukar jauh2...

sahabat gunung said...

Kita bagi peluang sehingga Disember ini. Adakah pemimpin2 UMNO berani melakukan perubahan, atau masih di takuk lama.

Aku bukannya nak menghasut, cuma nak melihat satu perubahan yang bagi aku bukannya perubahan untuk kepentingan peribadi mana-mana orang atau pemimpin, tapi perubahan yang boleh mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN.

Aku percaya, bahawa rakyat bukan bencikan UMNO atau BN, tetapi rakyat dah meluat dengan sesetengah individu dalam UMNO itu sendiri.

Fikir-fikirkanlah....