Thursday, April 3, 2008

Teruskan Pemilihan, Dengarlah Suara Akar Umbi UMNO

Umum mengetahui UMNO dan Barisan Nasional telah mengalami tamparan yang amat hebat pada Pilihan Raya Umum Ke 12 (PRU-12) yang baru lalu. Pelbagai spekulasi dan kebenaran bermain dilidah setiap rakyat terutama oleh orang-orang UMNO sendiri.

Masing-masing mengeluarkan pendapat yang tersendiri dan mengaitkannya dengan isu-isu nasional yang gagal ditangani dengan baik oleh pihak Kerajaan sebagai punca kekalahan.

Tidak kurang juga isu-isu peribadi pemimpin-pemimpin parti sedikit sebanyak menyumbangkan kepada kekalahan.

Pihak pembangkang sendiri tidak menyangka bahawa PRU-12 telah menjadikan mereka umpama gergasi yang hampir-hampir meruntuhkan tembok kebal BN yang telah berkuasa selama kira-kira 50 tahun.

Hakikat bahawa negeri-negeri yang kononnya kubu kuat BN di semenanjung juga telah berjaya ditembusi. Ini membuktikan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjalankan tugas mereka dengan baik, pembangkang berjaya memanipulasikan isu sehabis baik dan BN kini sudah tidak baik di mata rakyat.

Tetapi ini tidak bermakna bahawa UMNO telah tidak relevan. Dengan kekuatan seramai 79 orang calon UMNO yang kini bergelar ahli parlimen daripada 140 kerusi BN di Dewan Rakyat, semestinya suara mereka ditunggu-tunggu apabila penggal baru persidangan Dewan Rakyat dibuka.

Adakah 'ngauman' beberapa wakil rakyat BN seperti penggal lalu masih kedengaran atau laungan oleh pembangkang pula akan bermaharajalela?

Perkara ini amat penting kerana UMNO adalah tunjang kepada BN dan sebarang kesilapan daripada wakil rakyat UMNO di Dewan Rakyat akan mengundang padah sehingga boleh menyebabkan BN goyah.

Suatu fenomena baru di parlimen akan bermula dan ini adalah perkara yang amat menarik untuk dilihat.

Suara rakyat juga telah menentukan segala-galanya. Ini juga memperlihatkan bahawa kedudukan orang Melayu yang selama ini diperjuangkan oleh UMNO sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan PRU-12.

Mungkin Agenda Melayu yang diperkatakan dengan agak keras pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu menjadi titik tolak kepada keadaan seumpama ini.

Jika selama ini pemimpin-pemimpin UMNO lantang bersuara mempertahankan hak, adakah kali ini akan kedengaran lagi suara seumpama itu?

Paling penting adalah rakyat dan ahli-ahli UMNO yang setia ingin melihat bagaimana corak baru yang ingin dibawa oleh pucuk pimpinan agar kemelut ini dapat diselesaikan seterusnya memberi sinar baru kepada UMNO.

Umum juga mengetahui bahawa sepatutnya Pemilihan Agung UMNO diadakan pada tahun ini. Tetapi media massa telah melaporkan bahawa kemungkinan pemilihan tersebut ditangguhkan oleh Majlis Tertinggi UMNO dengan alasan perlu kepada pengukuhan parti terlebih dahulu.

Sebenarnya, ahli-ahli UMNO juga ingin menyuarakan hasrat dan suara hati mereka. Pucuk pimpinan telah melihat suara rakyat berkumandang dalam keputusan PRU-12.

Justeru itu, penulis merasakan biarlah pada kali ini pucuk pimpinan melihat pula suara ahli UMNO melalui pemilihan parti. Tidak perlu ditangguhkan kerana masalah yang lebih teruk akan melanda parti.

Fitnah akan terus berleluasa dan orang-orang yang berkepentingan akan mempunyai lebih masa untuk bergerak dan berkempen secara lebih halus. Ini lebih membahayakan UMNO dan akan menyebabkan lebih perpecahan berlaku.

Kita telah merasai kepahitan apabila PRU-12 yang dijangka berlangsung pada bulan November 2007 telah diumumkan pada Mac 2008.

Mungkin Kerajaan merasakan bahawa perlu meredakan beberapa isu terlebih dahulu tetapi tidak menyangka isu yang lebih besar melanda negara.

Begitu juga pemilihan UMNO. Lagi lambat kita laksanakannya, makin parah keadaan kita. Biar kali ini ahli UMNO yang tentukan halatuju kita dan pemimpin kita. Jangan tangguhkan pemilihan parti

No comments: