Monday, May 5, 2008

Kebiadapan DAP dan Kelemahan Melayu Pembangkang

Kita telah berpeluang untuk menonton secara langsung perdebatan di peringkat Dewan Rakyat pada penggal ini. Selama ini suasananya hanya dapat kita ikuti melalui akhbar dan juga melalui sedikit rakaman sewaktu siaran Berita Perdana RTM jam 8 malam. Tidak pernah rakyat biasa terbayang akan suasananya dan cara bagaimana interaksi antara pihak Kerajaan, penyokong BN dan pembangkang berlangsung selama ini. Terima kasih pada pihak kerajaan kerana membenarkan persidangan tersebut disiarkan secara langsung.

Bila kita ikuti perjalanan sidang Dewan Rakyat tersebut, maka terbukalah mata dan minda kita untuk menilai semula akan keprihatinan Kerajaan yang selama ini digambarkan tidak mementingkan rakyat oleh pembangkang, sikap ahli parlimen BN dan pembangkang yang memberikan soalan-soalan bernas demi kepentingan rakyat dan kebiadapan kebanyakan ahli parlimen DAP dalam soal tatatertib sebagai ahli parlimen dan lebih mementingkan soal teknikal dalam Dewan Rakyat berbanding hal-hal yang membabitkan kepentingan rakyat.

Secara jelas dan nyata, DAP telah menunjukkan belang mereka. Kononnya perjuangan mereka demi menyama-ratakan hak seluruh rakyat Malaysia adalah tunjang kepada kemakmuran negara. Sedarkah kita semua, bahawa sudah terang lagi bersuluh bahawa DAP lebih menumpukan soal perkauman dan mewujudkan ketegangan beragama dalam survival politik mereka?

Andainya di Parlimen, sepatutnya Ketua Pembangkang iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah sepatutnya menjadi ketua dalam setiap hal yang menjadi pertikaian pembangkang. Sehingga hari ini, bagi kita semua beliau masih gagal menjalankan tugasnya dengan baik. Kelihatan seolah-olah beliau menjadi 'kuda tunggangan' kepada DAP untuk menjadi hero bagi pembangkang sedangkan isu yang dibawa oleh DAP dalam Dewan Rakyat sangat remeh.

Di peringkat negeri pula, Menteri Besar Perak juga gagal dalam tugasnya untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan agama Islam kerana sanggup untuk membiarkan dirinya diperkudakan oleh DAP. Dari isu pelantikan EXCO Kerajaan Negeri untuk memegang portfolio-portfolio penting sehinggalah kepada isu melibatkan agama Islam, DAP cuba menjadi heronya. Akibatnya, secara terang-terangan, Karpal Singh dan Ngeh Kor Ham mempertikaikan kuasa mutlak Sultan Perak dalam soal pelantikan Pengarah Agama Islam Negeri Perak.

Inilah akibatnya apabila orang Melayu berpecah dan tidak melihat wawasan yang dibawa oleh UMNO bagi membolehkan kedaulatan Melayu dipertahankan. Adakah orang Melayu hanya mahu bersatu padu apabila peristiwa seperti 13 Mei berulang? Tidakkah orang Melayu sedar bahawa DAP ini cuba mewujudkan ketegangan kaum bagi membolehkan kuasa orang Melayu hilang di negaranya sendiri?

Lebih penting, mengapa wakil-wakil rakyat pembangkang Melayu langsung tidak mempertikaikan soal-soal yang membabitkan DAP yang cuba mendahului mereka dalam setiap hal? Adakah hanya disebabkan kepentingan politik, maka kepentingan survival orang Melayu sanggup dijual oleh mereka?

PKR yang diterajui oleh Anwar Ibrahim dan PAS yang dipimpin oleh Haji Hadi Awang sepatutnya sedar akan keadaan ini. Memang benar, ada perkara-perkara lemah dilakukan oleh UMNO tetapi dalam soal kepentingan orang Melayu dan Islam, orang UMNO sama sekali tidak akan membiarkan dirinya diperkotak-katikkan apatah lagi oleh bangsa lain.

Kita menghormati bangsa lain dalam negara ini. Walaupun jika dilihat dari sudut sejarah, bangsa-bangsa tersebut adalah orang-orang pedagang tetapi pada hari ini, mereka telah diterima sebagai warga Malaysia yang berdaulat. Kita boleh duduk semeja untuk berbincang dan kita sanggup untuk berkompromi dengan bangsa lain sekiranya ia melihat kepentingan rakyat seperti yang dilakukan oleh BN. Tetapi hal yang dilakukan oleh DAP, PKR dan PAS sangat-sangat menyakitkan hati kami orang-orang Melayu.

Ingatlah, bahawa hal ini akan diingati oleh kami kerana DAP sudah tidak hormat pada institusi kesultanan. Sultan mempunyai hak untuk menarik balik pingat yang diberikan kepada wakil-wakil rakyat dan kami bersetuju sekiranya pingat yang diberikan kepada wakil rakyat yang kurang ajar seperti DAP ditarik semula.

Undi kami adalah untuk kesejahteraan Malaysia, bukannya demi survival politik seperti yang diamalkan oleh pembangkang!

No comments: