Friday, May 2, 2008

Isu Keris dan Keberanian

Saya adalah antara kalangan orang Melayu yang begitu marah bila Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein memohon maaf pada orang bukan Melayu dalam isu keris Panca Warisan. Sebabnya, keris itu adalah simbol perjuangan orang Melayu dan mencium keris adalah istiadat dalam warisan kebudayaan orang Melayu.

Kehebatan DAP dan Anwar Ibrahim dalam mainkan isu ini pada PRU-12 yang lepas memang memberikan kesan pada keputusan PRU-12. Orang-orang Cina yang sensitif begitu teruja untuk membalas perbuatan Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein tersebut dengan menjadikan undi 'perkauman' sebagai modal mereka.

Selepas PRU-12 diumumkan, memang benar BN tewas banyak kerusi Parlimen dan DUN. Implikasinya juga, ramai orang-orang Cina jatuh terduduk kerana Bursa Saham Kuala Lumpur mengalami kejatuhan mendadak keesokan harinya.

Orang-orang Cina patut sedar, bahawasanya Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein telah banyak melakukan perkara-perkara untuk kebaikan kaum Cina. Berapa banyak peruntukan disalurkan kepada SJKC, membina SJKC yang baru dan berunding dengan Dong Jia Zong untuk memelihara kepentingan pendidikan orang Cina.

Maka, perkara Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta maaf kepada orang bukan Melayu dan khususnya kepada orang-orang Cina sepatutnya tidak wajar dilakukan oleh beliau berdasarkan perkara-perkara yang telah beliau lakukan untuk kebaikan orang Cina di Malaysia. Menjadi hak kepada beliau sebagai orang Melayu untuk terus menjulang keris dalam istiadat orang Melayu.

Namun, sebagai pemimpin berjiwa besar dan berhati murni, saya cukup terharu apabila Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein sanggup mengenepikan segala implikasi politik dan ego orang Melayu terhadap beliau dengan melafazkan permohonan maaf.

Matlamatnya hanya satu, agar kebimbingan orang bukan Melayu terhadap politik perkauman terhapus dan kepercayaan mereka kepada Barisan Nasional kembali pulih.

Tidak dinafikan, jika kita lihat statistik keputusan PRU-12 bagi BN, UMNO tidak banyak kehilangan kerusi di Parlimen. Kita menguasai 79 buah kerusi dan parti komponen dalam BN tidak mampu untuk mencatat rekod sebanyak ini.

Namun, kita perlu sedar dan realistik, bahawa BN ini wujud kerana adanya pakatan bersama parti komponen dan UMNO sendiri tidak akan mampu mengekalkan kuasanya sekiranya parti komponen tewas di seluruh kerusi ataupun ada yang melompat parti.

Kita telah hidup bersama sejak beratus-ratus tahun di negara ini dan pakatan BN telah berjaya membawa seluruh rakyat mengecapi kemerdekaan selama 50 tahun. Percayalah, samada sedar atau tidak, kita saling bergantungan antara satu sama lain dan sebarang perkara yang boleh menyakitkan hati salah satu kaum akan mengundang bahaya yang amat besar kepada BN.

Berhubung soal UMNO pula, memang benar ramai pihak dikalangan orang UMNO risau atas permohonan maaf beliau kerana merasakan hak kita telah dinafikan oleh orang-orang bukan Melayu dan perjalanan politik Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam UMNO mungkin akan tamat selepas ini.

Dalam hal ini, saya minta dan menyeru semua pihak agar melihat perkara ini bukan hanya setakat pertandingan jawatan dalam parti UMNO tetapi yang lebih penting adalah bagaimana UMNO dapat mengekalkan kuasanya sebagai tunjang kepada BN. Tidak guna seseorang itu memegang jawatan Presiden, Timb. Presiden atau Naib Presiden dalam UMNO tetapi pada PRU-13 akan datang BN tewas dan menjadi pembangkang.

Lihat secara tersirat apa yang dilakukan oleh Dato' Seri Hishammuddin. Secara tersurat, langkah beliau memohon maaf mungkin akan menyebabkan beliau kalah dalam pemilihan parti UMNO akan datang. Namun sekiranya kita semua mengambil inisiatif untuk menerangkan kepada ahli-ahli UMNO akan perkara tersirat yang dilakukan oleh beliau, saya percaya Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein akan menang pada pemilihan parti UMNO nanti.

Tunjukkan kepada saya, siapa di kalangan pemimpin UMNO yang sanggup untuk mengeluarkan permohonan maaf kerana kekalahan BN yang lalu. Banyak isu yang dibangkitkan tetapi tiada satu pun yang tampil ke depan melakukan perkara yang sama dengan Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein. Yang menuding jari memang ramai.

Bila diteliti secara mendalam langkah yang diambil, saya menghormati Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana menjadi orang pertama tampil ke depan memohon maaf kepada orang-orang yang terasa hati dan orang-orang yang menuding jari menyalahkan beliau.

Sedangkan Rasulullah S.A.W yang begitu maksum juga pernah memohon maaf pada umat baginda, inikan pula manusia seperti kita yang memang tidak pernah terlepas melakukan dosa dan kesilapan?

Buang rasa ego kita sebagai orang Melayu. Terlalu banyak hak keistimewaan kita yang dipertahankan oleh Kerajaan. Adakah hanya dengan permohonan maaf tentang isu keris kita sudah hilang hak keistimewaan?

Buang juga rasa ego kita orang Melayu kerana kita memang bergantung dengan kaum-kaum lain di negara ini terutamanya ekonomi. Mereka terasa hati dan kita perlu melakukan sesuatu untuk memulihkan kembali keadaan.

Percayalah, UMNO akan terus kuat sekiranya komponen BN juga kembali kuat. UMNO akan terus memerintah jika komponen BN terus percaya pada kita. Maka, bermula hari ini, semua ahli UMNO dituntut untuk melaksanakan kerja keras bagi mengembalikan semula kepercayaan orang bukan Melayu terhadap kita.

Inilah kekuatan kita!

No comments: