Tuesday, May 6, 2008

Berikan Insentif KWSP Untuk Ringankan Beban Rakyat

Apabila kita telah masuk ke era globalisasi, maka keseluruhannya adalah tertumpu kepada persaingan yang melibatkan fizikal, ekonomi dan sosial.


Malaysia, yang kini sedang meningkatkan segala keupayaannya untuk bergelar negara maju menjelang tahun 2020 tidak terkecuali merasai bahang persaingan tersebut.

Apatah lagi negara ini yang baru merdeka 50 tahun dan tatkala ini sedang menangani segala macam ragam rakyatnya yang berbilang bangsa akibat keputusan PRU-12 yang bersifat perkauman; memberikan tekanan kepada pihak pemerintah untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat negara ini.

Pada masa yang sama juga, cuba untuk menangani segala macam krisis di peringkat global.

Justeru, apabila kita mengikuti perbahasan di Dewan Rakyat, ternyata bahawa aspek yang melibatkan kepentingan umum menjadi topik utama setiap kali pihak Kerajaan memberikan jawapan. Ini memberi makna bahawa setiap ahli parlimen yang bangun menanyakan soalan setakat ini kecuali Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Beruas dan Puchong sedar akan tanggungjawab mereka dalam usaha membela rakyat terutamanya kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.


Kerajaan pula setakat ini dilihat memainkan peranan dengan berkesan dalam usaha menangani persaingan di peringkat global. Kenaikan harga minyak, harga makanan dan kenaikan kos bahan binaan amat memeritkan sehinggakan subsidi ditambah agar rakyat tidak mengalami tekanan.


Pembangkang pula seperti biasa, walaupun ada antara mereka memahami situasi kenaikan harga barang, masih mahu pihak kerajaan menurunkan harga minyak. Dalam soal ini, penulis amat bersetuju dengan Menteri KPDN&HEP yang menyatakan dengan tegas berkenaan soal subsidi kepada makanan berbanding meningkatkan subsidi untuk minyak. Ini memang suatu perkara yang boleh memberikan manfaat besar kepada rakyat terutamanya yang miskin. Keprihatinan seperti inilah yang dimahukan oleh rakyat.


CEUPACS dan MTUC pula terus mendesak Kerajaan agar memberikan 'buah tangan' kepada pekerja sektor awam dan swasta. Bagi saya, mungkin ada perkara-perkara yang boleh dinilai oleh Kerajaan melalui permintaan-permintaan gabungan tersebut. Tetapi jangan sampai sehingga ada pelabur-pelabur luar negara akan 'cabut kaki' akibat kenaikan kos buruh dan sebagainya sekiranya Kerajaan bersetuju dengan permintaan mereka. Lebih-lebih lagi permintaan kenaikan gaji minimum RM900 oleh MTUC.


Bagi saya, mungkin ada cara lain yang boleh difikirkan oleh Kerajaan untuk membantu rakyat terutamanya golongan sederhana dan miskin. Selain daripada soal pemberian bantuan sara hidup kepada golongan miskin melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, mungkin Kerajaan boleh menimbang permintaan CEUPACS dan MTUC melalui imbuhan KWSP yang boleh diterima oleh pekerja awam dan swasta.


Cadangan saya bagi meringankan beban pekerja sektor awam dan swasta yang berpendapatan sederhana dan rendah melalui imbuhan KWSP adalah :


1. Pencarum KWSP dibenarkan untuk mengeluarkan caruman mereka bagi membayar insuran kenderaan sahaja setiap 2 tahun sekali (dengan mengemukakan resit bayaran insuran kenderaan).


2. Pencarum KWSP yang telah berkeluarga dan mempunyai anak bersekolah dibenarkan untuk mengeluarkan maksima RM2000 pada hujung tahun bagi membiayai pembelian peralatan sekolah (tertakluk kepada bilangan anak bersekolah).

Bagi saya, mungkin cadangan ini mempunyai implikasinya terhadap sumber kewangan negara tetapi sekiranya Kerajaan benar-benar boleh membantu, maka hal ini boleh dipertimbangkan.


Umum mengetahui bahawa pekerja swasta tidak tertakluk kepada bonus tahunan seperti yang dinikmati oleh pekerja awam. Walaupun bukan sesuatu yang wajib untuk memberikan bonus kepada pekerja awam, tetapi percayalah bahawa ianya benar-benar membantu mereka terutamanya yang berkeluarga.


Saya juga percaya, daripada Kerajaan terbeban dengan desakan seperti MTUC, adalah lebih baik untuk memberikan insentif kepada pekerja swasta seperti cadangan yang saya nyatakan memandangkan wang yang dicarum adalah hak mereka sebenarnya.

1 comment:

MELAYU DI PERSIMPANGAN said...

Paling penting, kerajaan perlu berani mempertahankan apa yang sepatutnya menjadi hak rakyat, khususnya HAK ORANG MELAYU.

Jangan asyik nak jaga hati bangsa lain, kami orang MELAYU terabai masa depannya, bila lagi kerajaan yang ditunjangi UMNO nak bantu kami, inilah masanya.

Jangan sampai orang Melayu terpaksa mencari inisiatif lain untuk menjamin kedaulatan politik MELAYU, 50 tahun akan datang.

Fikir-fikirkanlah wahai Pemimpin2 UMNO.... Tolonglah.