Thursday, May 15, 2008

Kerajaan Perlu Bagi Jawapan Yang Bernas dan Tegas

Suasana Dewan Rakyat pada penggal kali ini memang amat berlainan daripada penggal-penggal sebelum ini. Bermula dari hari pembukaan hinggalah ke hari ini, banyak perkara-perkara yang dibincangkan oleh setiap Ahli Parlimen yang mengambil bahagian.

Wakil Rakyat BN dan Pembangkang bertalu-talu menyoal pihak Kerajaan berkenaan dasar dan pelaksanaannya yang mempunyai hubungkait dengan kebajikan masyarakat.Rakyat pula setakat ini berpuashati kerana dapat mengikuti siaran selama 30 minit walaupun terdapat permintaan supaya waktu siaran dipanjangkan.

Melalui siaran tersebut, maka rakyat diberi peluang untuk melihat sendiri bagaimana Kerajaan memberikan jawapan terhadap soalan-soalan yang dibangkitkan. Setakat ini bagi saya, masih ada ruang untuk wakil-wakil Kerajaan untuk memperbaiki mutu jawapan kepada setiap soalan-soalan yang dikemukakan samada soalan bertulis atau soalan tambahan.

Agak mengecewakan juga kerana ada segelintir wakil Kerajaan yang dilihat seolah-seolah tidak bersedia atau seperti 'mati kutu' dengan soalan-soalan yang berkaitan dengan kementerian mereka.

Contohnya seperti soalan yang berkaitan dengan isu penggunaan senjata M-16 oleh wakil DAP. Nampak sangat bahawa si Timbalan Menteri tidak memberikan jawapan yang memuaskan, bukan sahaja kepada ahli Dewan Rakyat malahan kepada rakyat.

Perkara ini bukan sahaja boleh mewujudkan situasi 'bising' di kalangan wakil rakyat Pembangkang di Parlimen, tetapi juga memberikan gambaran imej yang tidak baik kepada Kerajaan oleh rakyat.

Bagi saya, itu adalah soalan yang sangat mudah untuk dijawab kerana siri latihan menggunakan senjata hanya kepada pelatih yang mahu mengikutinya dan dikawalselia oleh pihak tentera. Kebaikannya kepada pelatih pula adalah untuk memberikan pengetahuan dan siri latihan penggunaan senjata membolehkan mereka ini memikul tanggungjawab untuk mempertahankan negara sekiranya berlaku peperangan.

Semudah itu jawapan yang boleh diberikan, bukannya membaca semula objektif penubuhan PLKN.Justeru, dalam soal ini sebaik-baiknya adalah pihak Kerajaan perlu menekankan kepada wakil-wakil mereka agar dapat memberikan mutu jawapan yang terbaik dalam soal yang membabitkan kepentingan rakyat.

Selain itu, masih ada wakil-wakil Kerajaan yang mempunyai mutu Bahasa Malaysia yang tidak bagus. Saya tidak mengatakan mereka tidak boleh bercakap tetapi pertuturan yang pelat amat menyukarkan pendengar menilai jawapan yang diberikan. Jangan jadi seperti wakil rakyat Kelana Jaya yang langsung tidak tahu bertutur dalam Bahasa Malaysia!

Oleh itu, dalam soal membina keyakinan rakyat, wakil-wakil Kerajaan perlu mencontohi mutu jawapan seperti YAB TPM kerana menjawab dengan tegas sehinggakan segala isu yang dibangkitkan oleh pembangkang dimatikan begitu sahaja.

Akhirnya, rakyat memahami bahawa isu yang dimainkan oleh pembangkang terutamanya PKR berkenaan kredibilti YAB TPM adalah palsu semata-mata.

Lebih penting, Kerajaan perlu bertegas dan memberikan jawapan yang bernas di Dewan Rakyat agar pilihan untuk memilih Kerajaan oleh rakyat pada PRU ke 13 akan datang hanya kepada satu parti iaitu Barisan Nasional!

No comments: